Wednesday, September 11, 2013

Kejuruteraan Genetik : Di Mana Batasannya

Ditulis oleh Abu Bakar Bin Yang. Posted in Artikel
Di zaman moden ini, sains telah mencapai kemajuan yang cemerlang di dalam banyak bidang. Di antara yang menarik perhatian umum ialah kejayaan sains di bidang kejuruteraan genetik. Ramai sudah cendekiawan dan cerdik pandai yang telah memberi pandangan mereka dalam hal ini, masing-masing dengan hujah dan alasan, samada menyokong dan tidak kurang pula yang menentang.
Dengan berkembangnya pengetahuan sains di bidang ini, manusia telah mampu untuk mengawal perkembangan genetik manusia dengan berbagai cara dan kaedah. Kalau pada zaman dahulu pasangan yang tidak mempunyai anak dianggap rendah oleh segolongan masyarakat, tetapi sekarang dengan kemajuan di bidang genetik, pasangan tersebut akan mampu untuk mempunyai anak. Kaedah ini di namakan InVitro Fertilization atau dalam bahasa malaysianya sebagai kaedah Bayi Tabung Uji.
Dengan kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik ini juga, manusia mampu untuk menjalankan eksperimen-eksperimen yang mencampurkan benih dari spesis binatang dengan binatang yang lain, dengan tujuan untuk menghasilkan spesis yang lebih baik. Contohnya, seperti penghasilan jenis lembu, kambing dan anjing yang lebih baik dari segi penghasilan susu, daging, kulit dan juga kecantikan.
Di samping itu, kejayaan di bidang genetik ini telah menggemparkan dunia, dengan berbagai-bagai jenis makhluk baru yang beraneka bentuk dan rupa, hasil daripada campuran benih yang telah dilakukan oleh manusia.
Persoalannya sekarang, apakah pandangan Islam terhadap perkara-perkara yang sebegini. Firman Allah s.w.t di dalam surah An Nisa' ayat yang ke 119, yang berbunyi;
yang bermaksud:
"Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan akan menyuruh mereka memotong telinga-telinga binatang ternak (iaitu untuk dipersembahkan kepada berhala), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka merobah ciptaan Allah, lalu mereka benar-benar merobahnya."
Daripada ayat di atas jelas kepada kita bahawa secara umumnya, merobah ciptaan Allah adalah merupakan sebahagian daripada amalan syaitan yang akan membawa bala bencana kepada manusia. Setiap ciptaan Allah yang berada di alam ini adalah berada di dalam keadaan yang cukup sempurna dan seimbang serta mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada manusia.
Oleh itu sebarang bentuk pengubahsuian yang dilakukan, yang boleh mendatangkan mudharat kepada manusia dan alam sekitar adalah dilarang di dalam Islam. Contohnya, seperti eksperimen yang dilakukan di Russia tidak berapa lama dahulu, di mana benih manusia telah dikacukkan dengan benih binatang, dengan harapan, kacukan ini akan dapat menghasilkan satu spesis yang separuh manusia dan separuh binatang yang dapat digunakan sebagai tenaga buruh di bidang industri ataupun pertanian. Tenaga-tenaga buruh ini diharapkan tidak akan mendatangkan sebarang masalah kepada manusia kerana mereka senang diarah dan tidak banyak kerenah seperti manusia biasa.
Begitulah juga dengan masalah bayi tabung uji. Oleh kerana kemajuan sains dan teknologi yang canggih mampu untuk melakukan persenyawaan benih manusia di luar daripada kebiasaan, maka manusia dengan sewenang-wenangnya menggunakannya demi memuaskan kehendak diri sendiri. Maka timbulah isu wanita-wanita yang menawarkan diri untuk mengandungkan anak untuk orang lain. Ataupun pasangan-pasangan yang mempunyai anak yang cacat atau yang kurang bernasib baik sanggup memohon daripada penderma-penderma benih yang dianggap lebih intelektual, agar dengan yang demikian anak yang bakal dilahirkan akan menjadi seorang yang pandai dan intelek.
Begitulah juga halnya, dengan usaha-usaha yang dijalankan untuk menghasilkan spesis-spesis binatang baru dengan mencampur-adukan berbagai-bagai jenis benih binatang hanya semata-mata untuk tujuan mengukir nama di bidang sains, tetapi sebaliknya memudharatkan dan menganiaya binatang, juga dilarang di dalam Islam.
Sungguhpun begitu, larangan ini adalah tidak mutlak. Islam tetap lagi memberi ruang kepada sains untuk menerokai bidang genetik ini, tetapi ianya hendaklah sesuai dengan prinsip kemanusiaan dan tidak mendatangkan mudharat ataupun bahaya kepada manusia dan juga alam sekitar.
Umpamanya, kemajuan sains dan teknologi dalam menghasilkan bayi tabung uji boleh digunakan kepada pasangan yang tidak mempunyai anak. Di mana benih daripada suami boleh disenyawakan dengan benih isteri dan kemudian dibesarkan di dalam kandungan isteri itu sendiri. Oleh itu tidak timbul masalah mengambil benih daripada orang lain atau mengambil upah mengandungkan anak orang lain, yang mana akibatnya mendatangkan porak-peranda di dalam masyarakat.
Begitu juga dengan kaedah kacukan binatang ataupun tumbuh-tumbuhan yang boleh menghasilkan baka yang lebih baik dan mendatangkan manfaat kepada manusia, ianya adalah dibolehkan. Ini adalah sesuai dengan sebuah hadis yang menceritakan ada seorang sahabat yang datang bertanya dengan Rasullullah s.a.w tentang kacukan pohon tamar yang telah dilakukannya. Maka Rasullullah menjawab, "Engkau lebih mengetahui tentang itu." Ini menjelaskan kepada kita bahawa kacukan yang membawa faedah kepada manusia dan tidak memudharatkan kehidupan adalah dibolehkan.
Sekiranya kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik ini tidak dibataskan, maka bayangkanlah kerosakan yang akan dibawanya. Akan timbul masalah-masalah masyarakat, seperti anak yang mempunyai dua ibubapa, wanita-wanita yang kerjanya hanyalah mengambil upah untuk mengandungkan anak untuk orang lain, ataupun akan wujud pula binatang yang mempunyai perasaan dan tabiat seperti manusia ataupun sebaliknya, dan berbagai-bagai masalah lagi.
Oleh hal yang demikian, penekanan yang diberi oleh Islam dalam menangani isu etika berkenaan dengan kemajuan sains dan teknologi di bidang genetik adalah menjurus kepada menjaga keharmonian hidup masyarakat, dengan mengambil kira faktor kemanusiaan, perasaan, fitrah semulajadi dan menjaga keseimbangan alam sekitar.
tujuhlapanenam:

Jalan kembali..

No comments:

Post a Comment