Sunday, September 8, 2013

KRITIKAN SUMBER ^^

http://eemoticons.net http://eemoticons.net http://eemoticons.net http://eemoticons.net http://eemoticons.net http://eemoticons.net http://eemoticons.net

Makna sumber
Ahli-ahli sejarah amat mementingkan penggunaan sumber yang sahih dalam penghasilan sesebuah penulisan sejarah. Sumber yang benar dan tepat tentang sesuatu hasil kajian sejarah dapat membuktikan kesahihan sesuatu peristiwa atau kejadian yang telah berlaku pada suatu ketika dahulu. Menurut Muhd. Yusof Ibrahim, “sumber ialah suatu yang boleh menjadi punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan”.[3] Selain itu, terdapat beberapa definisi atau tafsiran lain yang merujuk kepada maksud sumber, antaranya seperti di dalam kamus Oxford English Dictionary, sumber atau “source” bererti “sesebuah karya, dan lain-lain, yang menyediakan maklumat atau bukti (khusus yang bersifat tulen atau asli) berkenaan sesuatu fakta, kejadian, atau siri hal-hal tersebut”.[4] Sumber juga boleh diertikan seperti bahan-bahan tinggalan sejarah yang berupa seperti dokumen, artifak, jurnal, buku catatan peribadi dan lain-lain yang tersimpan di arkib, perpustakaan, pejabat khas, muzium dan sebagainya. Bahan-bahan ini secara langsung atau tidak langsung menjadi rujukan untuk tujuan penyelidikan bagi ahli-ahli sejarah mahupun pengkaji-pengkaji dalam mana-mana disiplin ilmu. Sumber terbahagi kepada 2 jenis, yakni sumber primer dan sumber sekunder. Sumber primer diklasifikasikan sebagai bahan-bahan asli atau tulen seperti dokumen, surat (rasmi atau tidak rasmi), laporan, buku harian dan sebagainya yang belum ditafsir atau diperlengkapkan lagi.[5] Bahan-bahan yang dikategorikan sebagai sumber primer kerana keadaannya yang asli dan mengandungi maklumat asal sama ada benar atau tidak benar untuk tujuan penyelidikan. Seterusnya ialah sumber sekunder atau kedua yakni bahan-bahan penulisan tentang sesuatu peristiwa atau biografi tentang tokoh-tokoh tertentu yang diterbitkan oleh seseorang penulis atau sesebuah organisasi berdasarkan kajian terhadap sumber primer.[6] Penggunaan sumber sekunder adalah penting bagi seseorang penulis sejarah kerana ia berfungsi sebagai penyokong atau pengukuh bagi sesuatu hujah dan bukti yang dikemukakan. Sumber-sumber kedua adalah seperti buku, majalah, surat khabar, disertasi atau tesis.
Penafsiran Sumber
Sumber terdapat dalam pelbagai bentuk yakni berupa seperti dokumen, surat, catatan harian seseorang, koin , artifak, peninggalan peribadi dan sebagainya. Namun, sumber sering kali disalahertikan dan menimbulkan keraguan sesetengah pihak dan pengkaji kerana ia mempunyai pertalian atau “cohesion” dengan bukti. Hal ini kerana terdapat anggapan bahawa “bukti” membawa maksud yang serupa dengan istilah sumber. Kendatipun, anggapan itu ternyata tidak benar sama sekali kerana menurut ahli-ahli sejarah, istilah sumber dalam konteks sejarah membawa makna “bahan-bahan yang menyediakan bukti berkenaan sesuatu yang dikaji itu”. Di samping itu, bukti pula bermaksud “keterangan atau fakta-fakta yang dapat mengesahkan atau menyangkal sesuatu hal yang khusus”.[7] Fakta merupakan tulang belakang bagi sesebuah penulisan sejarah, tanpanya, penulisan itu hanyalah sebuah cerita rekaan semata-mata atau mungkin boleh menjadi sebuah penulisan falsafah atau sastera. Fakta sejarah ialah sesuatu hakikat yang kukuh, stabil dan tidak boleh dipersoalkan lagi kewibawaan mahupun kebenarannya[8]. Sungguh pun begitu, sesuatu fakta itu masih belum boleh disahkan lagi pada peringkat fakta itu dianggap masih mudah dan terbukti sepenuhnya akan kebenarannya.[9]  Sekiranya terdapat unsur subjektiviti seperti pengadilan moral, motif penulis  dan sebagainya, fakta tersebut akan berubah daripada asalnya. Fakta boleh menjadi sesuatu yang subjektif kerana ia terhasil daripada proses pemikiran ahli-ahli sejarah.[10]  Proses ini dilakukan selepas seseorang pengkaji itu telah meneliti, mentafsir dan membandingkan sumber-sumber yang digunapakai itu. Oleh itu, Ranke menyarankan agar fakta tersebut tidak di’warnai’ dengan nilai-nilai subjektif agar fakta tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, agama, bangsa dan sebagainya. Walaupun begitu, kepentingan sesuatu sumber itu adalah berdasarkan ahli sejarah yang mengkaji sesuatu peristiwa atau tajuk penulisannya.
Kritikan Luaran
Istilah kritikan pada masa ini bukanlah satu pendirian negatif semata-mata tetapi menjadi satu ujian untuk mengesahkan atau menyangkal kebenaran pensejarahan atau sumber-sumber tertentu. Ia turut dianggap sebagai satu usaha untuk memastikan ketulenan sesuatu sumber asli itu.[11] Perkembangan dalam kaedah penyelidikan sejarah ini telah diperluaskan lagi oleh tokoh pensejarahan moden iaitu Leopold Von Ranke pada abad ke-19. Kaedah ini disifatkan sebagai “sejarah kritikal” oleh R.G Collingwood kerana ia telah menjadikan bidang sejarah setanding dengan pelbagai disiplin ilmu moden yang lain seperti bidang sains khususnya. Kritikan luar lebih bersifat fizikal ke atas sesuatu sumber atau pengkaryaan. Perkara ini merangkumi ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan ujian bahan-bahan yang digunakan terdapat dalam dokumen itu. Bagi ujian kimia, dokumen itu akan diuji keadaan kertas, penggunaan dakwat pena dan cap kerana bahan-bahan ini akan berubah keadaan fizikal mengikut perederan masa, justeru, pemalsuan dokumen boleh berlaku. Misalnya kes Buku Harian Hitler yang didakwa dipalsukan yang telah menimbulkan pertelingkahan sesetengah ahli sejarah yang akui akan kebenarannya, padahal hakikatnya memang benar buku itu adalah palsu setelah ujian makmal dijalankan ke atas penggunaan benang “polyester” yang digunakan untuk penjilidan yang tidak pernah digunakan pada zaman pemerintahan Hitler. Manakala ujian bahasa penting untuk memastikan ketulenan sesuatu dokumen itu kerana gaya bahasa sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dari segi tatabahasa, ejaan, ejaan, tanda baca dan sebagainya.[12] Ujian-ujian ini tidaklah dilaksanakan oleh ahli sejarah semata-mata kerana mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Ahli-ahli sejarah berperanan mentafsir kebenaran sesuatu sumber atau dokumen itu berdasarkan hasil ujian-ujian tersebut.
Kritikan Dalaman
Kesulitan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar daripada sumber-sumber adalah satu perkara yang tipikal dalam sejarah. Hal ini kerana fakta-fakta yang wujud dalam sesuatu sumber adalah nyata dan bisu, oleh itu, ahli sejarah perlu  meneroka dengan lebih dalam lagi sumber-sumber tersebut untuk mendapatkan kebenaran yang hakiki tentang sesuatu kejadian. Justeru, lahirlah satu proses dalam penyelidikan sejarah iaitu proses kritikan dalaman yang bertujuan untuk memastikan kerasionalan dan kemunasabahan yang terdapat dalam isi kandungan sesuatu sumber itu.[13] Selain itu, proses ini bertujuan untuk menjamin bahawa setiap fakta yang diambil daripada sumber-sumber boleh dipertanggungjawabkan dan disahkan oleh ahli sejarah.[14]  Menurut Profesor Kitson Clark, “tidak ada dokumen, dan tidak ada penyataan, rasmi atau bukan rasmi, yang tidak boleh disangsi”. Kesangsian yang terbit dalam pemikiran ahli sejarah adalah penting terhadap kajiannya ke atas sesuatu sumber kerana terdapat fakta-fakta yang tersembunyi disebalik sumber yang nyata itu. Dalam penelitian sesuatu sumber, maksud-maksud yang tersirat itu perlu dipersoalkan. Ahli sejarah perlu bijak mengenalpasti tujuan atau latar belakang di sebalik surat atau dokumen atau pengkaryaan. Hal ini penting kerana setiap ahli sejarah mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza tentang suatu kejadian tertentu. Akibatnya terdapat bukti-bukti yang bercanggah antara satu sejarawan dengan yang lain.[15] Hal ini demikian kerana penentu dalam sejarah bukanlah fakta-fakta yang yang wujud pada sumber itu, penafsiran ahli-ahli sejarah yang mengkaji sumber itu yang mengawal fakta tersebut. Sungguh pun begitu, ahli sejarah tidak boleh secara sewenang-wenangnya memanipulasikan fakta jika tidak dapat mentafsir bukti dalam sumber itu, perkara terbaik ialah mengakui kejahilannya. Hasil kajian ahli sejarah perlu bersandarkan kepada “apa yang didapatinya betul” dan bukan “apa yang difikirkannya betul” berdasarkan sumber yang ada.[16]

[1] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 3.
[2] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 3.
[3] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlm. 50.
[4] R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, hlm. 28.
[5] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 66.
[6] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlm. 51.
[7] R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, hlm. 29.
[8] Muhd. Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 72.
[9] Louis Gottschalk, Understanding History, hlm. 140.
[10] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlm. 53.
[11] R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, hlm. 36.
[12] R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, hlm. 37.
[13] Arba’iyah Mohd Nor, Ilmu Sejarah dan Pensejarahan, hlm. 60.
[14] Muhd Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah, hlm. 85.
[15] R. Suntralingam, Pengenalan Sejarah, hlm. 46.

No comments:

Post a Comment